5 LANGKAH BANGKIT DARI KEGAGALAN


1.Bersyukur Dengan Pencapaian Yang Sedikit

Apabila kita berusaha dan tetap gagal, mungkin yang gagal adalah matlamat yang besar ataupun keputusan akhir. Tetapi, fikirkan dan ingat semula pencapaian kecil menerusi usaha yang dilakukan, tentunya ada pencapaian yang kecil.
Mungkin sasaran hendak mencapai jualan RM5,000 tetapi berjaya memperoleh RM500 saja. Gagal dalam mencapai sasaran, tetapi tidak gagal dalam berusaha. Bersyukur dengan pencapaian yang diperoleh walaupun sedikit kerana rasa bersyukur itu adalah nikmat yang menjadikan kita lebih berusaha dengan baik dan bukan berputus asa.

2. Tetap Berfikir Positif, Tetapi Lebih Realistik

Apabila gagal, pelbagai perasaan negatif akan datang. Di kala inilah agak sukar untuk bangun semula. Penuhi minda dengan fikiran yang sentiasa positif. Ia amat sukar kerana berfikir negatif itu jauh lebih mudah.
Namun, perlu berusaha dan mencuba. Berfikir positif adalah satu tabiat yang boleh diamalkan. Pernahkah anda kenali orang yang sentiasa berfikir positif? Dan juga pastinya anda pernah terjumpa orang yang berfikir negatif bukan?
Ini kerana, mereka yang berfikir positif mempunyai tabiat sentiasa berfikir positif. Bagi mereka, ia tidak sukar kerana sering berfikir positif. Ia umpama bersenam. Lebih banyak kita lakukan, lebih sihat tubuh badan kita. Sama juga seperti berfikir positif, lebih banyak kita berfikir positif, lebih mudah untuk kita mengamalkan tabiat yang positif.
Berfikir positif juga pastikan ia realistik. Adakah realistik untuk menjadi jutawan ¬dalam masa setahun dua? Pastinya tidak dan amat-amat sukar. Tetapi menjadi jutawan dalam masa enam hingga lapan tahun lebih realistik dan ramai yang berjaya melakukannya.

3. Belajar Sentiasa Tanpa Jemu

Selalu fikirkan bahawa apa yang penting adalah proses dan usaha dalam mencapai kejayaan, tidak semestinya keputusan akhir atau matlamat. Ini kerana, kita akan belajar lebih banyak melalui usaha dan proses terbabit walaupun gagal.
Sering saya dengar kisah seorang jutawan yang gagal dalam sesuatu perniagaan. Tetapi selepas gagal, beliau mulakan perniagaan lain dan terus berjaya. Apa yang terjadi adalah dua perkara – gagal boleh terjadi pada sesiapa saja walaupun sudah mempunyai pengalaman.
Tetapi lebih penting, walaupun gagal, beliau tidak putus asa dan menggunakan ilmu dan pengalaman yang dilalui sama ada yang berjaya atau gagal untuk mencapai matlamat seterusnya.


4. Mempunyai Bulatan Bimbingan Yang Memahami

Ia amat membantu sekiranya mempunyai bulatan bimbingan kenalan yang memahami. Sekiranya kenalan ini tidak memahami, itu yang kedengaran komen tajam lagi pedas, “Haaaa. kan aku dah kata, sure gagal punya. Nampak sekarang apa dah jadi”.
Tetapi dengan mempunyai bulatan kenalan yang memahami, kita mendapat komen seperti, “Tak mengapa, jangan risau. Dulu saya pun gagal juga, tapi perlahan-lahan kita usaha lagi sehingga berjaya.”
Betapa bezanya apabila mendengar komen negatif dan positif yang lebih membantu untuk tidak berputus asa.
Dampingi mereka yang memahami usaha dan kegagalan anda. Mereka inilah yang dapat memberi nasihat yang membina dan bukan sebaliknya.

5. Bersyukur dengan perkara yang lain

Rezeki itu semestinya luas. Sekiranya tiada rezeki dalam mencapai matlamat yang diusahakan, mungkin rezeki kita di tempat lain seperti kesihatan yang baik, keluarga bahagia, kenalan yang memahami dan pelbagai lagi.
Apabila gagal, pastinya kita rasa tertekan. Dengan mensyukuri apa yang kita ada, ia mengurangkan tekanan, rasa sedih dan marah. Fikirkan dan fahami bahawa rezeki itu luas dan mungkin belum tiba masanya untuk kita peroleh apa yang dihajati. Mungkin juga ia perlukan usaha tambahan dan waktu berlainan untuk meneruskan usaha sebelum mendapat matlamat yang diinginkan.
Tidak kira di mana kedudukan kita kini, kegagalan itu pasti. Apa yang penting cara kita menanganinya dan bangun semula untuk berjaya.
Bangun daripada kegagalan bergantung kepada pemikiran diri kita sendiri. Dinyatakan bahawa, bukan apa yang berlaku ke atas kita yang menentukan peribadi kita, tetapi ia bergantung kepada tindakan yang kita lakukan selepas sesuatu itu berlaku.
Dan apabila difikirkan semula, tindakan kita itu 100 peratus di bawah kawalan kita dan bukan dikawal oleh orang lain.
Oleh itu, bangun daripada kegagalan adalah 100 peratus tanggungjawab diri kita sendiri.

copyright @hmetro

Posted in Uncategorized.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *